Resipi Sihat

Resepi Kek Lapis Sarawak Boleh Di Jadikan Peluang Perniagaan

Resepi Kek Lapis Sarawak boleh dijadikan peluang perniagaan. Pasti jadi, dan rasanya unik dan enak. Menjadikan kek lapis Sarawak kekal diminati sehingga kini. Untuk memulakan bisnes Kek Lapis Sarawak tidak memerlukan modal yang tinggi, Cukup hanya mempunyai bahan asas peralatan iaitu ketuhar, bahan kek dan kemahiran menghasilkan kek lapis yang sedap untuk pelanggan. Bermula secara kecil-kecilan dengan menjual kepada jiran tetangga, saudara mara, menghantar ke kedai-kedai dan seterusnya ia boleh dikembangkan ke pasaran yang lebih luas merentasi sempadan dan negeri. Beberapa bantuan kewangan juga diberikan kepada golongan suri rumah memupuk pertumbuhan industri kotej seperti Amanah Ikthtiar Malaysia (AIM), TEKUN, MARA, Bank Negara dan sebagainya.

Potensi Industri makanan Kek Lapis Sarawak terbentang luas berdasarkan sifatnya yang ‘versatile’ dan mendapat permintaan untuk berbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavalli, Krismas, Hari Gawai dan Majlis Kenduri.

Dengan sedikit kreativiti pembungkusan, kek lapis Sarawak sangat sesuai untuk dijadikan ‘doorgift’ untuk tetamu sempena Majlis Makan Malam, perkahwinan dan pertunangan. Ramai usahawan wanita terutamanya dari Sarawak berjaya dalam dunia perniagaan dengan mengeluarkan produk kek lapis Sarawak secara komersil. Buktinya merek telah mempunyai bakeri kek lapis sendiri

Bagi pasaran komersil, bahan pengawet digunakan disamping menggamalkan kaedah penyimpanan dan pembungkusan yang betul bagi memanjangkan jangka hayat kek lapis Sarawak. Kajian MARDI mendapati kek lapis yang dibungkus menggunakan lapisan polivinil klorida (PVC) dan Oriented Nylon /LLDPE  boleh bertahan selama 3 bulan pada suhu bilik tanpa menjejaskan kualiti rasa dan rupanya. Didapati kek lapis yang dijual secara tradisional tidak menggunakan pengawet kerana dibuat mengikut tarikh permintaan pelanggan.

Sejarah Kek Lapis Sarawak

Kek lapis Sarawak mula popular sekitar tahun 1980an yang dihidang khusus di musim perayaan Sarawak dan menjadi hidangan rasmi untuk tetamu. Kek lapis ini dipercayai berasal dari negara jiran Indonesia sejak zaman kolonial Belanda. Tidak seperti Kek Lapis Legit dari Indonesia, yang mempunyai satu warna dan dilapis nipis, kek lapis Sarawak divariasikan dengan berbagai rasa, warna dan bentuk. Rupa parasnya yang menarik serta mempunyai pelbagai rasa dan perisa menarik perhatian pengunjung yang mengunjungi negeri Sarawak.

Lantaran itu, Kek Lapis Sarawak tersenarai dalam kategori Industri Makanan Kotej yang kini menjadi “signature” makanan tradisi Sarawak. Pengiktirafan kerajaan negeri Sarawak dengan meletakkan juadah istimewa ini antara produk rasmi Sarawak secara tidak langsung meninggikan ranking kek lapis Sarawak di mata masyarakat dalam dan luar negara. Tidak sah melawat Sarawak, jika tidak membawa ole2 kek lapis Sarawak untuk dijadikan sebagai cenderahati untuk di bawa pulang.

Kenali Kek Lapis Sarawak

Bahan dan kandungan asas Kek Lapis Sarawak adalah sama dengan kek komersil iaitu tepung gandum, telur, gula, lelemak seperti butter atau marjerin, kondisioner makanan, perisa dan pengawet. Olahan ramuan lain yang mencipta kelainan kek dari segi rasa dan hasilnya ditambah dengan berbagai perisa, jem, pes seperti coklat, kopi, st, nenas, nutella, kiwi, buah-buah kering seperti kismis, kurma dan berbagai jenis biskut yang menambah kelazatan dan kelainan kek lapis Sarawak.

Kek lapis Sarawak mempunyai 2 jenis iaitu jenis gulung atau roll dan jenis biasa yang boleh dipotong mengikut saiz. Kecantikan dan kesenian kek dapat dilihat dengan memotong kek tersebut. Istimewanya walaupun dipotong kecil, cantuman lapisan kek tetap rapi dan tidak pecah. Kek lapis yang berkualiti mempunyai teksur yang lembut, halus dan licin dengan kemanisan yang sederhana. kek lapis Sarawak dibuat secara teliti dan dibakar selapis demi selapis yang memakan masa sehingga 3-4 jam. Bagi menghasilkan bentuk atau corak yang unik, kek dicantum menggunakan jem atau pes.

Keistimewaan kek lapis terserlah dengan corak dan motif dan tekstur yang lembab. Harga kek lapis ditentukan berdasarkancorak yang rumit, penggunaan bahan mentah yang berkualiti (gred A) dan jangka masa proses.

Berbagai jenis dan nama kek kini dijual dipasaran. Bermula dengan varieti asli dari Indonesia iaitu kek legit, kek rempah, kek Surabaya dan diinovasi oleh generasi baru Sarawak dengan menghasilkan Kek Lapis Qalas Qalas.

Kek Lapis Hawflakes

Kek lapis hawflakes ini diperolehi dari seorang kenalan 15 tahun yang lalu. Mulanya bila tengok 10 biji telor dan prosesnya yang agak rumit, rasa berat hati untuk mencuba. Prosesnya mengambil masa hampir 3-4 jam yang memerlukan kesabaran dan ketelitian. Sabar menyusun hawflakes satu persatu di loyang ditambah dengan wap air kukus yang kena tangan dan muka. Kali pertama membuatnya memang taubat sambal belacan, tapi bila dah merasa sekeping, sedapnya tidak terkata. Bagi 5 bintang di atas rasanya yang lemak berkrim. Kehadiran hawflakes yang masam manis memberi imbangan rasa yang sempurna dengan gandingan susu lemak manis. “Boleh masuk majlis” kerana kekini cantik dengan kesederhanaan lapisan yang sempoi. Sesiapa yang membuatnya pada kali pertama, pasti akan mengulangi membuatnya lagi biarpun remeh.  Ini ips untuk yang baru nak mencuba.

Cara kerja dan prosesnya ditambahbaik hasil dari pengalaman dalam 9 kali membuatnya.

RESEPI KEK LAPIS HAWFLAKES

Bahan-bahan

Susu Pekat – 1 tin

Biskut Soda – 1 cawan

Butter – 1 ½ buku

Baking Powder – 2 sudu kecil

Gula – 1 ½ cawan

Telor – 10 bii (Asingkan putih dan kuning)

Vanilla – 1 sudu

Hawflakes – 20 bungkus

Pewarna hijau

CARA PEMBUATAN ADUNAN

  1. Pukul gula+ butter
  2. Masukkan kuning telor satu persatu
  3. Dalam bekas lain, pukul putih telor hingga memutih
  4. Masukkan putih telor
  5. Masukkan susu pekat
  6. Masukkan vanilla
  7. Masukkan baking powder
  8. Masukkan biskut

PROSES MENGUKUS

  1. Panaskan kukus dan sapu loyang dengan butter diakhiri dengan taburan tepung.
  2. Bahagikan 2 adunan sama rata. Warnakan 1 bahagian dengan pewarna hijau. dan 1 bahagian lagi warna asal adunan.
  3. Letak loyang dalam kukus dan letak adunan seperti gambar. Selangseli melapis adunan seperti berikut:
  4. Letak warna asal dalam loyang. Ratakan adunan, Kukus dalam anggaran masa 5 minit. Pastikan lapisan telah masak.
  5. Susun hawflakes dan letak adunan hijau, ratakan dan kukus semula
  • Ulangi proses (i) dan (ii) hingga adunan habis.

Tips Kek Lapis Hawflakes Kukus

  1. Beli telor segar
  2. Pastikan telor kuning tidak termasuk dalam putih telor ketika proses pengasingan. Kalau tidak putih telor susah nak kembang dan memutih
  1. Pastikan campuran butter dan gula dipukul kembang sehingga putih
  2. Sediakan kukusan dan masukkan air hampir penuh
  3. Panaskan kukusan terlebih dahulu 10 minit sebelum proses adunan siap
  4. Bungkus tutup kukus dengan kain supaya air tidak jatuh ke atas kek (selalu tukar kedudukan kain yang basah ke atas penutup, sekiranya kain basah dengan wap)
  1. Sekiranya air kukusan hanmpir kering, masukkan air panas ( sediakan lebih awal )
  1. Buka dulu hawflakes satu-satu, kerana ada yang melekat
  2. Sebaiknya gunakan dapur gas yang boleh diletakkan di lantai supaya senang kerja melapis.

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Post Hangat

To Top