Petua

Kesilapan ketika berdiet, jadi berat badan tak turun-turun

Kesilapan ketika berdiet yang ramai tak sedar, jadi berat badan tak turun-turun. Ramai yang rasa  sedang berdiet kerana tidak mengambil nasi atau makanan bergula seperti kek, kuih muih ataupun tidak minum minuman bergula. Tapi masih hampa, berat badan tidak turun juga

Mengapa aku diet, tetapi masih tak turun berat badan?  Nak turun 1 kg dengan statik pun susah. Hari ini turun 1 kg, esok naik pula 1 kg balik. Haish, nasi dah tak makan. Tapi mengapa dah seminggu aku diet tapi berat masih kekal begini. Seminggu pun dah derita, rasa nak give up lah pula

Ada ke yang masih gagal untuk turunkan berat badan? Sudah berkali-kali anda tukar regime diet tetapi masih tidak berkesan untuk kuruskan badan. Mungkin ada kesilapan-kesilapan semasa berdiet yang anda tidak sedari. Cuba periksa dan ingat kembali cara anda berdiet. Adakah anda melakukan kesilapan seperti yang berikut;

 

 

 Kesilapan ketika berdiet, yang terakhir paling ramai orang lakukan

1.Tidak makan atau skip makan:

Walaupun tak makan, anda masih tidak kurus? Kenapa? Ini kerana tubuh anda sudah menukar ke mode kebuluran (starvation mode). Jadi tubuh anda berjimat-jimat untuk menggunakan lemak-lemak yang tersimpan di dalam badan dan ini menyebabkan metabolisme badan akan menurun. Elakkan skip makan, pastikan anda makan sekurang-kurangnya 6x sekali. Makan dengan dengan kerap tetapi dengan jumlah lebih sedikit. Malah anda perlu elakkan daripada skip sarapan atau bersarapan lewat. Jika tidak bersarapan, akan menjadikan metabolisme anda menurun dan kebarangkalian untuk makan dengan banyak pada waktu tengah hari adalah tinggi.

2.Diet yang tidak praktikal dengan cara hidup

Sesetengah yang  berdiet kerap meniru cara diet dan pemakanan orang barat. Adakalanya tidak praktikal dengan gaya pemakanan masyarakat kita. Selalunya anda bersarapan nasi lemak, roti canai, secara tiba-tiba ingin bertukar kepada oat. Jika kuantiti dan cara  pengambilan oat yang betul, di mana kalorinya perlu kurang daripada makanan berat yang lain. Itu tidak mengapa. Masalahnya ramai di antara kita kerana tidak suka dengan rasa oat, mula lah kita reka cipta menu oat yang lebih enak. Ada yang letak madu, letak gula, letak buah-buahan kering, letak syrup, letak jem dan lain-lain. Eh macam-macam karbohidrat korang nak letak kan.

Hidangan oat

Hidangan oat

Malah, Makanan orang barat juga selalunya lebih mahal daripada tempatan. Makanan seperti oat, pasta, spaghetti jika berlebihan juga boleh mengemukkan. Sama seperti nasi, makan berlebihan mestilah gemuk. Betul tak? Selain, itu sayuran seperti brokoli, asparagus dan buah-buahan seperti strawberi, bluberi sememangnya melibatkan kos yang lebih tinggi. Sekiranya melibatkan kos, ini bergantung kepada faktor kemampuan kewangan anda. Tidak salah, anda ingin membeli apa sahaja jenis  sayuran asalkan sayuran hijau dan bukan sayuran berkanji.

3. Tidak menukar tabiat yang sepatutnya

  • Tidak minum air yang mencukup: Ramai di kalangan kita yang sebenarnya tidak minum air yang secukupnya. Mungkin kerana sibuk dengan bekerja atau aktiviti harian. Tidak minum air secukupnya juga boleh memberikan rasa lapar pada anda. Malah badan juga akan rasa cepat letih, dan menjadikan anda susah untuk meneruskan diet.
  • Makan dengan laju; Makan dengan laju, hanya kunyah beberapa kali sahaja terus anda telan. Jadi tak sempat otak anda menerima isyarat kenyang dan anda cenderung untuk makan lebih banyak.  Oleh sebab itu makan dengan laju dikaitkan dengan pertmabahan berat badan, ukuran pinggang yang lebih besar dan glukosa dalam darah yang lebih tinggi.
  • Tidak bergerak aktif: Bukan sahaja tidak mahu bersenam tetapi malas untuk bergerak. Ambil remote TV, tutup buka lampu pun anda meminta bantuan orang lain. Jadi bagaimana hendak menurunkan berat badan? Jika anda memang tidak minat untuk bersenam, sekurang-kurangnya aktif untuk bergerak. Contohnya memilih laluan tangga daripada menggunakan lif.
  • Tidur lewat: Boleh dikatakan selagi  tidak tidur, selagi itulah akan makan. Jadi tidurlah dengan lebih awal. Jika mempunyai kerja yang perlu disiapkan, cuba siapkan pada awal pagi.
  • Tukar cara bersosial:  Terlalu banyak aktiviti sosial  dengan rakan-rakan, yang selalunya memang aktiviti mencari makanan sedap di serata pelusuk negara. Memang sukar untuk mengawal nafsu makan terutamanya jika bersama rakan-rakan. Anda juga suka mengikuti instagram, facebook, yang dipenuhi dengan riview masakan, riview makanan sedap, riview trend makanan. Ini menjadikan perasaan anda membuak-buak untuk makan, lagi-lagi anda sememangnya pencinta makanan. Kurangkan melihat profile, blog masakan melainkan menu diet.

4. Kesilapan paling penting, anda mengambil karbohidrat tersembunyi

Tidak mengambil nasi iaitu makanan ruji tetapi menggantikannnya dengan  kentang, keledek, jagung, biskut, kerepek dan lain-lain. Makanan seperti ini lebih susah untuk dinilai kadar karbohidratnya kerana bergantung kepada proses pembuatan dan jumlah pengambilan. Lebih senang, kurangkan amaun pengambilan nasi (sarankan hanya sesenduk sekali makan, 1x sehari) tetapi jangan ambil makanan karbohidrat yang lain.

Memang sukar untuk kurangkan karbohidrat dalam kehidupan seharian. Yang berkabohirat semuanya sedap-sedap. Ikuti tips ini untuk kurangkan nafsu makan anda.

Segala jenis sos dan kicap

Banyak lagi karbohidrat yang tersembunyi, seperti sos cili & tomato, sos tiram, pelbagai jenis kicap, pelbagai jenis sos  diperbuat dari tepung dan lain-lain. Lebihkan makanan daripada protein daripada karbohidrat, Contohnya mulakan hari anda dengan sarapan yang kaya dengan protein seperti 2 biji telur separuh masak. Senang pun senang. Tak perlu nak buat nasi goreng, mee goreng di pagi buta.

Karbohidrat tersembunyi

Karbohidrat tersembunyi

Buah-buahan

Ramai yang beranggapan bila berdiet, kita mestilah lebihkan buah-buahan dalam pemakanan. Tetapi adakah anda masih gagal menurunkan berat badan walaupun berdiet dengan cara ini? Ini jawapan untuk anda. Ini kerana ramai yang berfikir gula daripada buah adalah berbeza dengan gula pasir dan tidak akan memberi kesan kepada berat badan. Tetapi hakikatnya gula daripada buah tetaplah GULA. Di mana, kebanyakkan buah-buahan mengandungi  gabungan gula seperti fructose, glucose, sucrose. Dan ianya masih karbohidrat.

 

Klasifikasi karbohidrat

Kredit: byjus.com

Oleh itu, hadkan pengambilan buah-buahan anda kerana ianya juga tinggi kandungan gulanya dan elakkan buah-buahan yang tinggi kandungan gulanya. Lebihkan protein, sayuran dan ulam-ulaman dalam diet anda berbanding dengan buah-buahan.

Jus buahan

Selalunya jika berdiet, ramai  juga yang akan memikirkan perlu banyakkan minum air buah-buahan segar. Tapi seperti yang kita bincangkan tadi buah-buahan juga mengandungi gula (karbohidrat). Oleh kerana sudah membuang seratnya, gula yang terkandung di dalam jus buah lebih cepat diserap oleh badan. Kalau boleh elakkan minum apa-apa jus buahan untuk sementara waktu, tetapi lebihkan minum air kosong, air detox ataupun jus sayuran.

Kesimpulannya

Jika anda sudah lama berdiet, sebulan sekurang-kurangnya tetapi masih tidak menunjukkan penurunan berat atau pengurangan saiz badan. Semak dengan segera regime diet anda, adakah anda sebenarnya banyak mengambil karbohidrat tersembunyi secara tidak sedar. Jangan berputus asa lagi cuba ikuti tips ini untuk turunkan berat badan 3 kg dalam masa seminggu sahaja

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Post Hangat

To Top